CERITA TENTERA, AIRSOFT, PAINTBALL & CERITA AKU

Woodsball lain dari Speedball (paintball padang), Speedball main kat padang berbantalkan tong dram dan bebelon angin, Woodsball pulak main di dalam hutan, berlawan dengan pacat, kala jengking, nyamuk & semut resaksa & main seperti perang betul-betul dan lebih mempunyai jalan cerita.

Contohnya, save the president, capture the flag, diffuse bomb dan kalau berminat nak lagi ganas dan sadis bleh main macam game Call Of Duty dan Counter Strike... perghhh layan...

Aku start main woodsball nih takde la lama sangat, sebelum ni aku main airsoft dari tahun 1990an, sekarang dah berenti main airsoft & bebarang semua dah jual sebab sukan airsoft ni diharamkan di Malaysia tapi aku tak nampak pun IMPACT buruk sukan airsoft ni kat Malaysia, berapa ramai sangat orang yang berani guna senjata mainan untuk merompak? Atau berani ke kita guna senjata mainan dan berdepan dengan Pak Guard yang pakai Pump Gun tu?...Kes rompak guna senjata betul lagi banyak dari senjata palsu dan aku pun tak paham kenapa negara-negara maju lain meng-halalkan sukan airsoft ni tetapi kita tidak...entah la...dari buat benda tak elok baik main paintball & airsoft kan...Ada gak menafaat...

Ok citer tentang aku pulak...

Apa yang buat aku ada pengalaman menembak ni mungkin sebab dedulu dok ngikut Pak Long aku memburu rusa, kijang, kancil dan beburung di hutan, so rasanya agak dah biasa memegang senapang nih, bagi aku marker paintball/ airsoft ni lebih kurang sama jer dengan senapang betul cuma peluru lain, recoil pun sememang nya lain.


HOPE SEMUA READERS ENJOY MEMBACA BLOG SAYA NI & JUGA SAYA HARAP SEMUA BOLEH FAHAM CARA-CARA BUKAK-MEMBUKAK TIPPMANN A5 / 98 YANG SAYA SEDIAKAN.


SAYA BELUM TUNJUK LAGI ILMU DIY REBORE MARKER LAGI KAN...POWER DAN SEDAP PERGINYA...HEHEHE

THANKS

totis Paintball Valley aka Black Cell



Saturday, February 25, 2012

Doa untuk pejuang Bangsa yang gugur di Bukit Chandu

Doa untuk pejuang bangsa yang gugur di Bukit Chandu

Menteri Pertahanan Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam lawatan singkat ke Memorial Bukit Chandu untuk memperingati perwira-perwira Rejiman Askar Melayu yang telah gugur dalam mempertahankan Tanah Melayu dari penaklukan Tentera Jepun, melahirkan rasa terharu dengan pengorbanan pejuang pejuang bangsa yang luar biasa ini. Sejurus tiba pada 3.15pm, beliau telah membacakan doa pendek untuk memohon diberkati pejuang-pejuang syahid ini. 7 pegawai dan 146 anggota Rejimen Askar Melayu gugur diantata 13 dan 14 Feb 1942 bagi mempertahankan banjaran Pasir Panjang.

Inilah kali pertama Menteri Pertahanan Malaysia datang ke Bukit Chandu untuk memperingati peristiwa berdarah ini, pada ulangtahun kejadian setiap 14 Februari. Beliau diiringi oleh Timbalan Menteri Pertahanan Dato’ Dr Latif Ahmad dan Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifli Md Zin. Memorial Bukit Chandu ini telah diujudkan oleh Kerajaan Singapura pada tahun 2002 dan menghargai pengorbanan Rejimen Askar Melayu dalam pertahanan akhir Tentera British dan Kommonwealth, yang berundur ke Singapura setelah semua kubu mereka seluruh Tanah Melayu jatuh ke tangan Tentera Jepun bermula pendaratan di Kota Bharu pada 8 Disember 1941. Menjelang 31 Disember 1941, Tentera Jepun telah tiba di Johor Bahru dan bersedia untuk membuat serangan akhir untuk mengalahkan Tentera British dan Kommonwealth.

Menurut rekod seorang pegawai Tentera Australia Penrod Vance Dean yang terlibat dalam kempen mempertahankan Tanah Melayu, Rejimen Askar Melayu menunjukan keberanian dan semangat keperwiraan luar biasa. Rejimen 1 dan 2 Askar Melayu berjumlah 800 orang dikerahkan untuk mempertahankan kedudukan bermula dengan Sungai Pandan dan banjaran Pasir Panjang, berhadapan dengan ketumbukan 2 Divisyen Tentera Jepun sejumlah 14,000 orang. Generasi Malaysia masa ini dan akan datang wajar mengenang pengorbanan Lt Adnan Saidi dan 1 dan 2 Rejimen Askar Melayu ini sebagai simbol perjuangan dan pengorbanan mutlak, demi agama, bangsa dan tanahair.

Kenyataan media Menteri Pertahanan mengenai memperingati peristiwa pertempuran Bukit Chandu 14 feb 1942:
YB MENTERI PERTAHANAN MEMBERI PENGHORMATAN KEPADA PEJUANG ‘MALAY REGIMENT’ YANG TERKORBAN DALAM PERISTIWA BERDARAH DI BUKIT CANDU PADA 14 FEB 1942 (70 TAHUN YANG LALU)
Hari ini, tanggal 14 Febuari 2012, hari yang begitu sinonim dengan sambutan kasih sayang yang seringkali menjadi perdebatan agama namun terlepas pandang oleh kebanyakan kita tentang satu peristiwa bersejarah di Bukit Candu, Pasir Panjang, Singapura. Peristiwa 70 tahun lalu yang menyaksikan anak watan iaitu Allahyarham Leftenan Adnan bin Saidi telah gugur ketika mempertahankan tanahair tercinta. Adnan bin Saidi atau lebih dikenali sebagai Lt. Adnan Saidi dilahirkan di Kampung Sungei Ramal, Kajang, Selangor pada tahun 1915. Adnan Saidi merupakan anak sulung dalam keluarganya. Adik-adiknya, Ahmad bin Saidi dan Amarullah bin Saidi juga merupakan anggota tentera. Adnan Saidi menerima pendidikan di Pekan Sungei Ramal dalam aliran Inggeris. Dia merupakan pelajar yang rajin dan berjaya dalam pengajiannya. Selepas menamatkan pengajiannya, Adnan terpilih sebagai guru pelatih dan mengajar (alma mater) selama lebih satu tahun. Adnan kemudiannya mengambil keputusan untuk memasuki tentera.

Pada tahun 1933, ketika berusia 18 tahun, Adnan Saidi memasuki Rejimen Askar Melayu (Malay Regiment). Setahun kemudian, dia terpilih sebagai rekrut terbaik. Pada tahun 1936, Adnan dilantik ke pangkat Sarjan – kenaikan pangkat yang pantas bagi seorang tentera muda. Pada tahun 1937, Adnan Saidi terpilih untuk mewakili platunnya dalam perbarisan memberi hormat di London bagi menyambut pertabalan Raja George VI. Tidak lama selepas itu, Adnan Saidi sekali lagi dinaikkan pangkat kepada Kompeni-Sarjan-Major dan dihantar ke Singapura untuk kursus latihan pegawai. Setelah menamatkan kursus sebagai Leftenan Muda, Adnan Saidi dilantik sebagai ketua Platun ke-7, Kompeni ‘C’ . Sekembalinya Lt. Adnan Saidi daripada London, dia berkahwin dengan seorang guru di kampungnya, Puan Sophia Pakih Muda dan mendapat tiga orang anak: dua lelaki dan seorang anak perempuan. Termuda di antara tiga beradik, bayi perempuannya meninggal sejurus selepas kejatuhan Singapura.
Pada akhir 1941, Lt. Adnan Saidi ditempatkan di Singapura dan membawa keluarganya bersama-sama. Mereka tinggal di rumah besar di Pasir Panjang, dalam kawasan yang dikhaskan untuk keluarga Rejimen Askar Melayu.

Apabila berita peperangan Perang Dunia II semakin hampir, dan pihak Jepun bersedia untuk menjajah Singapura, Lt. Adnan menghantar keluarganya kembali ke kampung mereka di Kajang. Ini merupakan masa yang getir bagi Lt. Adnan kerana isterinya, Sophia, sedang mengandungkan anak mereka yang ketiga. Sejarah pendaratan Jepun di Tanah Melayu dan tindakan pantas tentera Jepun memaksa Tentera British berundur ke Singapura. Pertempuran-pertempuran akhir mempertahankan Singapura termasuk pertempuran di Pasir Panjang yang lebih dikenali sebagai Pertempuran Bukit Candu. Bukit Candu dinamakan sempena kilang memproses candu yang dahulunya terletak di kaki bukit tersebut.

Pertempuran sengit telah berlarutan beberapa hari sebelumnya. Tentera Jepun yang biasa bertempur dari ketumbukan Tentera ke-25 berjaya mengatasi kedudukan pertahanan strategik di Singapura. Bukit Candu menandakan sempadan pertahanan terakhir. Ia merupakan kedudukan pertahanan penting di Singapura berasaskan dua alasan strategik; ia boleh melihat bahagian utara Singapura dan selain itu, sekiranya pihak Jepun mengawal permatang, ia memberikan mereka laluan langsung ke kawasan Alexandra. Kawasan Alexandra merupakan tapak depoh bekalan peluru dan bekalan utama, hospital tentera dan kemudahan utama Tentera British. Dengan itu, permatang tersebut perlu dipertahankan bersungguh-sungguh.

Pertahanan permatang itu telah ditugaskan kepada Kompeni ‘C’. Kompeni ‘C’ merupakan sebahagian satu pasukan kecil Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu (1 Melayu). Batalion 1 Melayu dan Batalion 2 Melayu, bersama-sama dengan batalion ke-2 “Loyal Regiment” Tentera British dipusatkan menjadi Briged Infantri Pertama Malaya (1st Malaya Brigade). Pada 13 Februari 1942, Division Chrysanthemum Tentera Imperial Jepun yang handal di bawah pemerintahan Lt. Gen. Renya Mutaguchi menumpukan perhatian mereka kepada persisiran selatan Singapura – Permatang Pasir Panjang. Pada pagi tersebut, permatang tersebut dibedil bertalu-talu dengan sokongan udara, mortar berat dan bedilan meriam. Kompeni ‘C’ dan Lt. Adnan Saidi ketika itu telah ditempatkan di Perkampungan Pasir Panjang telah memberikan tentangan hebat. Akhirnya tentera Jepun terpaksa berundur disebabkan tentangan sengit daripada Kompeni ‘C’. Adnan dan orang-orangnya telah membina benteng pertahanan Rejimen di kawasan tanah tinggi, yang dikenali sebagai Celah (Gap). Walaupun mempunyai bilangan anggota yang lebih ramai, pasukan Jepun di bawah Major Kimura gagal menembusi barisan pertahanan di Celah (Gap).

ada tengah malam 14 Februari 1942, Kompeni ‘C’ menerima perintah untuk bergerak ke tapak pertahanan baru – Pt. 226, Bukit Candu. Lebih ramai askar tambahan ditempatkan ke pasukan di bawah pimpinan Adnan – menjadikan jumlah keseluruhannya 42 kesemuanya. Selepas meninjau persekitaran dengan cermat, Lt. Adnan Saidi memerintah orang-orangnya untuk memperkukuhkan benteng pertahanan mereka dengan beg pasir. Kawasan bukit tersebut dikelilingi dengan benteng beg pasir. Pada awal petang 14 Februari, pihak Jepun melancarkan serangan berhelah. Daripada Jalan Pepys Road mendaki Pt.226, Adnan Saidi yang ketika itu berusia 27 tahun, memantau kontinjen “tentera Sikh” daripada Tentera British India (British-Indian Army) mara. Penglihatannya yang tajam dan kecerdasan fikirannya membolehkan Lt. Adnan perasan sesuatu tidak kena apabila menyedari tentera berturban yang mara itu bergerak dalam kumpulan berempat dan bukannya bertiga seperti Tentera British. Menyedari helah tersebut, Lt. Adnan Saidi dan anak buahnya melepaskan tembakan dan berjaya membunuh sekitar 20 orang musuh pada jarak dekat yang memaksa tentera Jepun berundur.

Dua jam kemudian, tentera Jepun telah melancarkan serangan besar-besaran dalam bilangan yang besar. Serangan tersebut menumpaskan Lt. Adnan Saidi dan tenteranya. Dengan bilangan yang jauh lebih kecil dan kekurangan peluru, Rejimen Melayu bertempur dalam pertempuran sehingga ke mati. Walaupun Leftenan Adnan terkorban, namun lebih daripada 800 askar yang telah dibunuh oleh Leftenan Adnan dan rejimennya. Pertempuran sengit berlanjutan di Bukit Candu. Semua jenis senjata digunakan, termasuk bom tangan dan senjata automatik. Lt. Adnan sendiri mengendalikan senjata mesingan jenis Lewis gun. Dalam kebanyakan kes, askar bertempur dalam pertempuran berhadapan menggunakan bayonet. Tetapi, mereka kekal bertahan mengecewakan pihak musuh. Dalam pertempuran yang berikutnya pegawai dan tentera mati. Adnan cedera parah tetapi enggan berundur sebaliknya menyuruh orang-orangnya berjuang sehingga ke titisan darah terakhir. Keberaniannyalah yang menaikkan semangat juang orang-orangnya untuk bertahan bersunguh-sungguh.

Korporal Yaakob, yang mendapat Pingat Keberanian Medal of Gallant, merupakan salah seorang daripada mereka yang terselamat dalam pertempuran Bukit Candu. Dalam kacau-bilau pertempuran, beliau yang cedera jatuh di atas mayat mereka yang terkorban. Beliau terselamat dengan berpura-pura mati disamping mayat rakannya dan melihat kematian mengerikan Adnan Saidi. Musuh yang menang berjaya menawan Lt. Adnan. Akibat perasaan dendam kerana keberaniannya melawan Jepun, ketua platun itu diseret sebelum diserkup dengan guni. Tentera Jepun kemudiannya telah menggantungkan kakinya pada pokok ceri. Kerana meradang akibat kehilangan ramai rakan, tentera Jepun kemudiannya telah menikamnya dengan bayonet berkali-kali. Dalam kejadian lain disebut lehernya telah dikelar. Kejadian ini dilihat oleh Koperal Yaakob. Selepas pertempuran, pihak Jepun melarang sesiapapun menurunkan mayatnya untuk dikebumikan, dan tiada seorangpun yang berani. Malah menurut beberapa sumber, tubuh Lt. Adnan Saidi yang dicacatkan itu dibakar menjadi abu.

Keberanian Lt. Adnan Saidi bersama kontinjen 42 orang anggota Askar Melayu yang telah bertempur mati-matian untuk mempertahankan permatang Pasir Panjang merupakan satu episod yang kini kekal dalam lipatan sejarah. Pertempuran sengit itu disebut khusus dalam perutusan Lt. General A. E. Percival berkenaan Pemerintahan Operasi Malaya dari tarikh Disember 1941 sehingga 15 Februari 1942: “Selepas dua jam dibedil dengan meriam dan motar, tentera Jepun menyerang Rejimen Melayu yang mempertahankan Permatang Pasir Panjang. Rejimen Melayu bertempur dengan gagah beraninya tetapi mengalami kehilangan jiwa yang teruk, dan menjelang petang musuh sampai ke Celah (Permatang Pasir Panjang)…”

Di tapak bersejarah ini, pertempuran bagi pertahanan terakhir Singapura telah berlarutan selama 48 jam, berakhir dengan satu-satunya pertempuran jarak dekat tangan-ke-tangan (yang direkodkan) dengan Tentera Jepun. Hari ini, genap 70 tahun peristiwa ini berlaku, YB Menteri Pertahanan telah mengadakan lawatan bagi memberi penghormatan kepada mereka yang telah gugur di medan juang. Lawatan ini bermula dengan majlis doa selamat yang diketuai oleh YB Menteri Pertahanan sendiri dan turut disertai YB Datuk Dr Abdul Latiff bin Ahmad, Timb Menteri Pertahanan, Jen Tan Sri Zulkifeli bin Mohd Zin, Panglima Angkatan Tentera, Kol Abdul Malik bin Mohd Alwi (Bersara), Presiden Kelab Pegawai Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) serta Pegawai-pegawai Kanan Tentera Darat.

YB Menteri Pertahanan sewaktu sidang media memaklumkan 14 Feb akan dijadikan sebagai tarikh memperingati perjuangan perwira negara dalam kalendar aktiviti Tentera Darat. Sewaktu lawatan ini diadakan, YB Menteri Pertahanan turut menyampaikan sumbangan peribadi berjumlah 1,000 dollar Singapura.

“PERTAHANAN NEGARA TANGGUNGJAWAB BERSAMA”


kredit : Rahim Mohd
https://www.facebook.com/groups/139119639457821/permalink/329658553737261/

2 comments:

TOTIS @ Black Cell said...

Al-Fatihah untuk pejuang-pejuang negara yang gugur. Tanpa mereka tiadalah kita boleh mengecapi pemodenan dan keselesaan seperti sekarang. Betapa susahnya mereka bermandi darah untuk secebis kemerdekaan.

ღ cik faye ღ said...

al-fatihah...keep updating bro.