CERITA TENTERA, AIRSOFT, PAINTBALL & CERITA AKU

Woodsball lain dari Speedball (paintball padang), Speedball main kat padang berbantalkan tong dram dan bebelon angin, Woodsball pulak main di dalam hutan, berlawan dengan pacat, kala jengking, nyamuk & semut resaksa & main seperti perang betul-betul dan lebih mempunyai jalan cerita.

Contohnya, save the president, capture the flag, diffuse bomb dan kalau berminat nak lagi ganas dan sadis bleh main macam game Call Of Duty dan Counter Strike... perghhh layan...

Aku start main woodsball nih takde la lama sangat, sebelum ni aku main airsoft dari tahun 1990an, sekarang dah berenti main airsoft & bebarang semua dah jual sebab sukan airsoft ni diharamkan di Malaysia tapi aku tak nampak pun IMPACT buruk sukan airsoft ni kat Malaysia, berapa ramai sangat orang yang berani guna senjata mainan untuk merompak? Atau berani ke kita guna senjata mainan dan berdepan dengan Pak Guard yang pakai Pump Gun tu?...Kes rompak guna senjata betul lagi banyak dari senjata palsu dan aku pun tak paham kenapa negara-negara maju lain meng-halalkan sukan airsoft ni tetapi kita tidak...entah la...dari buat benda tak elok baik main paintball & airsoft kan...Ada gak menafaat...

Ok citer tentang aku pulak...

Apa yang buat aku ada pengalaman menembak ni mungkin sebab dedulu dok ngikut Pak Long aku memburu rusa, kijang, kancil dan beburung di hutan, so rasanya agak dah biasa memegang senapang nih, bagi aku marker paintball/ airsoft ni lebih kurang sama jer dengan senapang betul cuma peluru lain, recoil pun sememang nya lain.


HOPE SEMUA READERS ENJOY MEMBACA BLOG SAYA NI & JUGA SAYA HARAP SEMUA BOLEH FAHAM CARA-CARA BUKAK-MEMBUKAK TIPPMANN A5 / 98 YANG SAYA SEDIAKAN.


SAYA BELUM TUNJUK LAGI ILMU DIY REBORE MARKER LAGI KAN...POWER DAN SEDAP PERGINYA...HEHEHE

THANKS

totis Paintball Valley aka Black Cell



Friday, June 1, 2012

MISTERI PERLURU BERPANDU Beyond Visual Range(BVR) TUDM


1. Menurut Pendaftar Senjata Konvensional Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB),Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM) hanya mempunyai 20 buah misil Beyond Visual Range (BVR) dari jenis AMRAAM ( Advanced Medium-Range Air-to-Air Missile) iaitu AIM-120C.
2. Senarai itu menunjukkan simpanan misil AIM-120C tudm pada tahun 2005 tetapi tidak diketahui jika Malaysia ada membuat penambahan kerana senarai tersebut tidak diisi untuk tahun-tahun berikutnya.
3. Pendaftar itu mengkehendaki negara-negara yang menjadi ahlinya menyenaraikan senjata
strategik milik mereka, Malaysia turut menyenaraikan ribuan roket yang digunakan untuk sistem pelancar roket berganda tentera darat iaitu ASTROS II.
4. Melalui maklumat ini, sudah SAHLAH bahawa misil BVR yang canggih ini sudah pun dimiliki TUDM sejak dari tahun 2005 tetapi jumlahnya sangat sedikit untuk memberikan impak yang besar.
5. Kesemua peluru berpandu BVR itu hanya boleh dilancarkan dari pesawat F/A 18 Hornet dan tidak pada MIG-29 Fulcrum Malaysia.
6. Adalah agak mustahil, peluru berpandu BVR ini boleh dipasang kepada MIG 29 kerana sistem
perisian Russia dan Amerika yang tidak serupa, tambahan pula, pihak Russia sudah pasti enggan
mendedahkan “Source Code” pesawat buatan mereka kepada jurutera Amerika Syarikat (AS) untuk tujuan integrasi.
7. Menurut senarai pendaftaran itu, Malaysia mengesahkan pemilikan 20 AIM-120C untuk lapan buah F/A 18 milik TUDM, sangat kecil kuantitinya berbanding misil BVR yang berjumlah di antara 100 ke 300 buah milik Singapura.
8. Ini menunjukkan kabinet AS telah pun meluluskan penjualan AMRAAM AIM 120C kepada Malaysia selepas negara-negara di rantau ini seperti Singapura dan Thailand memilikinya bertahun lebih awal.
9. Menurut laman-laman website pertahanan, peluru berpandu BVR AMRAAM AIM 120C ini sangat mahal harganya dan kemungkinan, harga pembelian 20 buah AIM 120 ini mungkin mencecah harga di antara RM30-35 juta.
10.Penulis berpendapat, Malaysia mungkin membeli sedikit sahaja peluru berpandu ini kerana
pesawat Hornet TUDM telah dioptimumkan untuk serangan darat atau laut dan bukan untuk “Air Superiority”.
SEJARAH BVR DI ASIA TENGGARA
11.Pembelian 20 buah adalah memadai untuk 8 Hornet, lagipun, kerajaan Malaysia sudah membuat analisanya bahawa jika senjata canggih itu dijual kepada negara ini, versinya sudah pasti tidak sehebat versi yang dijual kepada Singapura.
12.Perkara ini pernah didedahkan oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang memberitahu, Hornet Malaysia tidak dapat dioptimumkan ke tahap 100 peratus memandangkan keengganan pihak AS untuk memberi “Source Code” pesawat itu kepada Malaysia.
13.Dengan itu, tidak berbaloi untuk membeli banyak, kemasukan misil itu pun adalah untuk
menambahkan “taring” kepada Hornet TUDM.
14.Persoalan sekarang, apa ada misil BVR lain dalam inventori TUDM, mungkin pada pesawat MIG 29s Fulcrum (type C) miliknya?
15.Saya sendiri menolak kemungkinan TUDM mempunyai misil BVR yang dipasang pada Mig 29 sebelum tahun 2005 atau sebelum kemasukkan Sukhoi SU-30MKM.
16.Pendaftar yang sama juga tidak menyenaraikan pemilikan BVR buatan Russia seperti misil
tercanggih AMRAAMSKI R-77 Vympel dalam inventori TUDM.
17.Umum mengetahui, tokoh republik itu, Lee Kuan Yew pernah mencabar mana-mana negara asing untuk menyerang Singapura sebaik sahaja Singapura mengesahkan pembelian peluru berpandu BVRnya pada tahun 2000.
18.Ada desas desus yang menyatakan Mig-29 Malaysia telah dimodifikasi untuk dipasang R-77, dan desas desus ini mungkin timbul kerana Mig-29 yang dibeli Malaysia telah dipasang dengan sistem radar yang berkemampuan untuk memandu misil BVR seperti R-77.
19.Radar yang dimaksudkan ialah NO-019M. Radar ini mampu memandu dua misil jenis R-77 serentak ke arah dua sasaran, ia dipasang oleh jurutera Russia yang berkhidmat dengan Aerospace Technology System Corporation Sdn Bhd satu ketika dahulu.
20.Mungkinkah ada kebenaran bahawa pemasangan radar ini telah menyebabkan Singapura mengelabah, kerana ini merupakan petanda awal bahawa Malaysia telah atau akan membeli R-77.
21.Singapura mula mendesak kongres AS supaya melepaskan penjualan AIM-120C, mereka berjaya dan kejayaan ini turut dikongsi oleh Thailand yang juga terancam dengan kemasukkan misil itu oleh jiran tertangganya.
BUKTI MISIL BVR R-77 TIDAK WUJUD DALAM INVENTORI TUDM
21.Baiklah…jika benar R-77 telah pun berada dalam inventori TUDM, Lee Kuan Yew sudah pasti
tidak berani mencabar “mana-mana” negara itu, sudah pasti dalam otak Lee Kuan Yew, “mana-mana” negara yang dimaksudkan itu sebenarnya ditujukan khas kepada Malaysia.
22.Pihak perisikan Singapura pastinya sudah berjaya membuktikan bahawa TUDM tidak memiliki senjata yang hebat seperti R-77 ketika itu dan menyakinkan Lee untuk membuat kenyataan yang mencabar air muka rakyat Malaysia pada ketika itu.
23.Kini, jumlah pemilikan AIM 120C Singapura telah mencecah kepada 300 buah, dengan pembelian terakhir pada 2008.
SINGAPURA KENA KELENTONG
24.Bagaimanapun, tokoh terulung Singapura ketika itu pun mungkin tertipu dengan khabar-khabar angin dari Malaysia.
25.Malaysia telah berjaya menimbulkan perasaan gerun pada pemikir angkatan tentera Singapura dengan khabar konon-kononnya TUDM sudah ada BVR.
26.Singapura panik kerana ini bermakna TUDM sudah satu langkah kehadapan berbanding Tentera Udara Republik Singapura (RSAF).
27.Ramai rakyat termasuk saya sendiri pun percaya R-77 sudah memasuki TUDM, ada sebilangan besar pula terkeliru di antara R-27 dan misil canggih BVR seperti R-77.
28.R-27 dan R-77 bukan misil yang serupa, hanya satu daripada mereka digeruni iaitu Vympel R-77.
29.Singapura pada ketika itu turut percaya, perisikan mereka pun percaya menyebabkan kerajaan PAP mendesak AS untuk melepaskan penjualan AIM-120C kepada tentera udara Singapura.
30.AS sendiri berasa berat hati untuk menjual senjata terbabit kerana bimbang kedatangan misil BVR dari jenis AIM 120 C bakal mencetuskan perlumbaan senjata.
BUKTI LAIN BAHAWA MISIL R-77 SUDAH WUJUD DALAM INVENTORI TUDM
31.Ada juga penganalisa pertahanan yang berpendapat, kebimbangan dan desakan Singapura ini
membuktikan bahawa misil BVR seperti R-77 sudah ada di tangan TUDM.
32.Penulis pernah membaca satu laporan pertahanan dari Australia yang menyebut bahawa pemikir angkatan tentera negara Kangaroo itu melihat dengan penuh kebimbangan dengan pemasangan radar terbaru pada MIG-29 Malaysia.
33.Laporan itu juga menyebut bahawa arkitek pertahanan mereka telah mendesak kerajaan Australia untuk turut mendapatkan sejumlah misil BVR dari jenis AIM-120 C dari AS.
34.Ia juga memberitahu dalam satu latihan pertempuran udara, kesemua pesawat pejuang Australia telah berjaya ditembak jatuh oleh juruterbang MIG-29 Malaysia dengan menggunakan misil R-77.
35.Selepas beberapa tahun pendedahan dari artikel itu, laporan terbabit menjadikan hujah saya
bahawa TUDM sudah pun memiliki R-77.
36.Akhirnya saya mendapat tahu bahawa, penembakan jatuh pesawat-pesawat Australia ini merupakan simulasi R-77, iaitu tembakan atau “Lock On” yang dibuat oleh radar terbaru MIG-29 Malaysia kerana radar tersebut seperti yang diceritakan di atas mempunyai keupayaan memandu misil BVR.
PENDAPAT PERIBADI PENULIS
40.Penulis secara muktamad akhirnya menolak bahawa TUDM sudah mempunyai misil BVR seperti R-77 untuk dipasang pada MIG-29.
41.Sebab-sebab TUDM tidak memasang R-77 ke atas MIG-29nya tidak diketahui tetapi penulis tidak menjumpai sebarang rekod yang menunjukkan MIG-29 dari negara luar berjaya melakukan pelancaran R-77 ke atas sasaran, baik semasa perang Iraq sehinggalah ke perang Serbia.
42.Mungkin diantara sebab R-77 tidak dipasang pada MIG-29 Malaysia adalah disebabkan fungsi pesawat itu yang dioptimumkan TUDM sebagai pesawat pemintas atau “Interceptor”.
43.Sebagai pesawat Interceptor, MIG perlu dikonfugirasikan seringan mungkin untuk memberikan pesawat itu daya tujahan dan kelajuan, misil berjarak sederhana seperti R-27 sudah bersesuaian untuk tugas pesawat Interceptor.
44.Penulis telah memeriksa beberapa kali dengan sumber-sumber dalaman dan setiap pertanyaan memberikan jawapan yang positif dan negatif.
45.Sumber yang paling dipercayai oleh penulis menyakinkan bahawa R-77 tidak pernah wujud dalam inventori TUDM atau dipasang pada Mig-29nya.
BVR DALAM INVENTORI TUDM HARI INI
46.Malaysia baru sahaja mendapatkan Sukhoi SU-30. Tidak perlu dipertikaikan lagi, misil BVR
seperti R-77 sudah pasti turut sama dibeli untuk dipasang pada Sukhoi yang lebih berat dan lebih berkemampuan enjinnya.
BERIKUT MERUPAKAN SENARAI PELURU BERPANDU TUDM PADA TAHUN 2000.
1. R27 untuk jarak sederhana (HARGA RM587,000)
2. AIM 7 untuk jarak sederhana F-18 (HARGA RM1.4 JUTA)
3. AGM84 serangan laut jarak sederhana untuk F-18 (HARGA RM4.1 JUTA)
4. AGM65 serangan udara ke darat untuk F-18 (HARGA RM 1.5 JUTA)
5. R73 jarak dekat untuk MIG-29 (HARGA RM 325,000)
6. AIM 9M jarak dekat untuk F-18 (HARGA 500,000)
7. AIM 9P4 jarak dekat untuk pesawat HAWK (HARGA RM200,000)
Semua senarai peluru berpandu di atas merupakan maklumat pemilikan dan harga belian pada tahun 2000, dan ia tidak menyebut kewujudan R-77 (Maklumat diperolehi dari kertas jawapan Dewan Negara, Parlimen Malaysia).
SENARAI YANG BERTANDA # DI BAWAH MERUPAKAN MAKLUMAT DARI INSTITUT PENYELIDIKAN KEAMANAN ANTARABANGSA STOCKHOLM :
BERIKUT MERUPAKAN SENARAI PEMBELIAN PELURU BERPANDU TUDM DI ANTARA 2003-2007#
1. R-77 – 100 buah untuk kegunaan SU-30
2. R-73 – 170 buah untuk MIG dan SUKHOI
3. Kh-31A1/AS 17 – 80 buah (Ada dua versi yang dibeli iaitu Kh-31A dan Kh-31P) untuk kegunaan SU-30.
4. R27 – 100 buah untuk MIG dan SUKHOI
BERIKUT MERUPAKAN SENARAI TIDAK RASMI PELURU BERPANDU TUDM
1. AMRAAM AIM-120C – 20 buah sahaja jika mengikut Pendaftar Senjata Konvensional
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Selain dari itu, TUDM tidak pernah mengesahkan pemilikan misil BVR ini kepada umum melalui media tempatan.
2. Bom Pintar Paveway – TUDM tidak pernah mengesahkan pemilikan bom pintar canggih ini
tetapi pemilikan alat Laser Targer Designator oleh PASKAU juga mengesahkan bahawa TUDM memiliki bom ini.
3. Misil HARPOON – TUDM tidak pernah mengeluarkan foto mengenai pemilikan peluru
berpandu anti kapal ini tetapi sumber penulis mengesahkan bahawa Hornet TUDM yang
dikonfigurasikan untuk anti perkapalan menggunakan misil ini untuk tugas itu dan bukan misil
Exocet.
NOTA PENULIS : BLOG ASIANDEFTECH ADA MEMBUAT SENARAI LENGKAP MISIL-MISIL ANGKATAN TENTERA
MALAYSIA. SILA RUJUK
http://asiandeftech.blogspot.com/2008/11/senarai-misil-yang-dimiliki-oleh-atm.html
BERIKUT MERUPAKAN PEMILIKAN MISIL DAN BOM TENTERA UDARA REPUBLIK SINGAPURA (SENARAI PEMBELIAN PADA 2007)#
1. AIM-120C – 100 untuk kegunaan F-15 SG
2. AIM-9X Sidewinder – 200 untuk F-15 SG
3. AGM-154 JSOW – 60 buah untuk F-15 SG
4. Bom pintar JDAM – 50 buah
5. Bom pintar Paveway – 84 buah termasuk 28 GBU 10 dan 56 GBU 12.
Sehingga kini, negara di rantau ini yang mempunyai kemampuan misil BVR adalah Malaysia,
Singapura, Thailand dan Vietnam.
Indonesia dan Filiphina masih ketinggalan.
Tentera Udara dari negara Malaysia dan Singapura juga berkemampuan untuk melakukan “precision strike” serta serangan pada waktu malam sedangkan Thailand, Vietnam, Indonesia dan Filiphina masih lemah atau tidak mempunyai keupayaan ini.

Saturday, February 25, 2012

Doa untuk pejuang Bangsa yang gugur di Bukit Chandu

Doa untuk pejuang bangsa yang gugur di Bukit Chandu

Menteri Pertahanan Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam lawatan singkat ke Memorial Bukit Chandu untuk memperingati perwira-perwira Rejiman Askar Melayu yang telah gugur dalam mempertahankan Tanah Melayu dari penaklukan Tentera Jepun, melahirkan rasa terharu dengan pengorbanan pejuang pejuang bangsa yang luar biasa ini. Sejurus tiba pada 3.15pm, beliau telah membacakan doa pendek untuk memohon diberkati pejuang-pejuang syahid ini. 7 pegawai dan 146 anggota Rejimen Askar Melayu gugur diantata 13 dan 14 Feb 1942 bagi mempertahankan banjaran Pasir Panjang.

Inilah kali pertama Menteri Pertahanan Malaysia datang ke Bukit Chandu untuk memperingati peristiwa berdarah ini, pada ulangtahun kejadian setiap 14 Februari. Beliau diiringi oleh Timbalan Menteri Pertahanan Dato’ Dr Latif Ahmad dan Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifli Md Zin. Memorial Bukit Chandu ini telah diujudkan oleh Kerajaan Singapura pada tahun 2002 dan menghargai pengorbanan Rejimen Askar Melayu dalam pertahanan akhir Tentera British dan Kommonwealth, yang berundur ke Singapura setelah semua kubu mereka seluruh Tanah Melayu jatuh ke tangan Tentera Jepun bermula pendaratan di Kota Bharu pada 8 Disember 1941. Menjelang 31 Disember 1941, Tentera Jepun telah tiba di Johor Bahru dan bersedia untuk membuat serangan akhir untuk mengalahkan Tentera British dan Kommonwealth.

Menurut rekod seorang pegawai Tentera Australia Penrod Vance Dean yang terlibat dalam kempen mempertahankan Tanah Melayu, Rejimen Askar Melayu menunjukan keberanian dan semangat keperwiraan luar biasa. Rejimen 1 dan 2 Askar Melayu berjumlah 800 orang dikerahkan untuk mempertahankan kedudukan bermula dengan Sungai Pandan dan banjaran Pasir Panjang, berhadapan dengan ketumbukan 2 Divisyen Tentera Jepun sejumlah 14,000 orang. Generasi Malaysia masa ini dan akan datang wajar mengenang pengorbanan Lt Adnan Saidi dan 1 dan 2 Rejimen Askar Melayu ini sebagai simbol perjuangan dan pengorbanan mutlak, demi agama, bangsa dan tanahair.

Kenyataan media Menteri Pertahanan mengenai memperingati peristiwa pertempuran Bukit Chandu 14 feb 1942:
YB MENTERI PERTAHANAN MEMBERI PENGHORMATAN KEPADA PEJUANG ‘MALAY REGIMENT’ YANG TERKORBAN DALAM PERISTIWA BERDARAH DI BUKIT CANDU PADA 14 FEB 1942 (70 TAHUN YANG LALU)
Hari ini, tanggal 14 Febuari 2012, hari yang begitu sinonim dengan sambutan kasih sayang yang seringkali menjadi perdebatan agama namun terlepas pandang oleh kebanyakan kita tentang satu peristiwa bersejarah di Bukit Candu, Pasir Panjang, Singapura. Peristiwa 70 tahun lalu yang menyaksikan anak watan iaitu Allahyarham Leftenan Adnan bin Saidi telah gugur ketika mempertahankan tanahair tercinta. Adnan bin Saidi atau lebih dikenali sebagai Lt. Adnan Saidi dilahirkan di Kampung Sungei Ramal, Kajang, Selangor pada tahun 1915. Adnan Saidi merupakan anak sulung dalam keluarganya. Adik-adiknya, Ahmad bin Saidi dan Amarullah bin Saidi juga merupakan anggota tentera. Adnan Saidi menerima pendidikan di Pekan Sungei Ramal dalam aliran Inggeris. Dia merupakan pelajar yang rajin dan berjaya dalam pengajiannya. Selepas menamatkan pengajiannya, Adnan terpilih sebagai guru pelatih dan mengajar (alma mater) selama lebih satu tahun. Adnan kemudiannya mengambil keputusan untuk memasuki tentera.

Pada tahun 1933, ketika berusia 18 tahun, Adnan Saidi memasuki Rejimen Askar Melayu (Malay Regiment). Setahun kemudian, dia terpilih sebagai rekrut terbaik. Pada tahun 1936, Adnan dilantik ke pangkat Sarjan – kenaikan pangkat yang pantas bagi seorang tentera muda. Pada tahun 1937, Adnan Saidi terpilih untuk mewakili platunnya dalam perbarisan memberi hormat di London bagi menyambut pertabalan Raja George VI. Tidak lama selepas itu, Adnan Saidi sekali lagi dinaikkan pangkat kepada Kompeni-Sarjan-Major dan dihantar ke Singapura untuk kursus latihan pegawai. Setelah menamatkan kursus sebagai Leftenan Muda, Adnan Saidi dilantik sebagai ketua Platun ke-7, Kompeni ‘C’ . Sekembalinya Lt. Adnan Saidi daripada London, dia berkahwin dengan seorang guru di kampungnya, Puan Sophia Pakih Muda dan mendapat tiga orang anak: dua lelaki dan seorang anak perempuan. Termuda di antara tiga beradik, bayi perempuannya meninggal sejurus selepas kejatuhan Singapura.
Pada akhir 1941, Lt. Adnan Saidi ditempatkan di Singapura dan membawa keluarganya bersama-sama. Mereka tinggal di rumah besar di Pasir Panjang, dalam kawasan yang dikhaskan untuk keluarga Rejimen Askar Melayu.

Apabila berita peperangan Perang Dunia II semakin hampir, dan pihak Jepun bersedia untuk menjajah Singapura, Lt. Adnan menghantar keluarganya kembali ke kampung mereka di Kajang. Ini merupakan masa yang getir bagi Lt. Adnan kerana isterinya, Sophia, sedang mengandungkan anak mereka yang ketiga. Sejarah pendaratan Jepun di Tanah Melayu dan tindakan pantas tentera Jepun memaksa Tentera British berundur ke Singapura. Pertempuran-pertempuran akhir mempertahankan Singapura termasuk pertempuran di Pasir Panjang yang lebih dikenali sebagai Pertempuran Bukit Candu. Bukit Candu dinamakan sempena kilang memproses candu yang dahulunya terletak di kaki bukit tersebut.

Pertempuran sengit telah berlarutan beberapa hari sebelumnya. Tentera Jepun yang biasa bertempur dari ketumbukan Tentera ke-25 berjaya mengatasi kedudukan pertahanan strategik di Singapura. Bukit Candu menandakan sempadan pertahanan terakhir. Ia merupakan kedudukan pertahanan penting di Singapura berasaskan dua alasan strategik; ia boleh melihat bahagian utara Singapura dan selain itu, sekiranya pihak Jepun mengawal permatang, ia memberikan mereka laluan langsung ke kawasan Alexandra. Kawasan Alexandra merupakan tapak depoh bekalan peluru dan bekalan utama, hospital tentera dan kemudahan utama Tentera British. Dengan itu, permatang tersebut perlu dipertahankan bersungguh-sungguh.

Pertahanan permatang itu telah ditugaskan kepada Kompeni ‘C’. Kompeni ‘C’ merupakan sebahagian satu pasukan kecil Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu (1 Melayu). Batalion 1 Melayu dan Batalion 2 Melayu, bersama-sama dengan batalion ke-2 “Loyal Regiment” Tentera British dipusatkan menjadi Briged Infantri Pertama Malaya (1st Malaya Brigade). Pada 13 Februari 1942, Division Chrysanthemum Tentera Imperial Jepun yang handal di bawah pemerintahan Lt. Gen. Renya Mutaguchi menumpukan perhatian mereka kepada persisiran selatan Singapura – Permatang Pasir Panjang. Pada pagi tersebut, permatang tersebut dibedil bertalu-talu dengan sokongan udara, mortar berat dan bedilan meriam. Kompeni ‘C’ dan Lt. Adnan Saidi ketika itu telah ditempatkan di Perkampungan Pasir Panjang telah memberikan tentangan hebat. Akhirnya tentera Jepun terpaksa berundur disebabkan tentangan sengit daripada Kompeni ‘C’. Adnan dan orang-orangnya telah membina benteng pertahanan Rejimen di kawasan tanah tinggi, yang dikenali sebagai Celah (Gap). Walaupun mempunyai bilangan anggota yang lebih ramai, pasukan Jepun di bawah Major Kimura gagal menembusi barisan pertahanan di Celah (Gap).

ada tengah malam 14 Februari 1942, Kompeni ‘C’ menerima perintah untuk bergerak ke tapak pertahanan baru – Pt. 226, Bukit Candu. Lebih ramai askar tambahan ditempatkan ke pasukan di bawah pimpinan Adnan – menjadikan jumlah keseluruhannya 42 kesemuanya. Selepas meninjau persekitaran dengan cermat, Lt. Adnan Saidi memerintah orang-orangnya untuk memperkukuhkan benteng pertahanan mereka dengan beg pasir. Kawasan bukit tersebut dikelilingi dengan benteng beg pasir. Pada awal petang 14 Februari, pihak Jepun melancarkan serangan berhelah. Daripada Jalan Pepys Road mendaki Pt.226, Adnan Saidi yang ketika itu berusia 27 tahun, memantau kontinjen “tentera Sikh” daripada Tentera British India (British-Indian Army) mara. Penglihatannya yang tajam dan kecerdasan fikirannya membolehkan Lt. Adnan perasan sesuatu tidak kena apabila menyedari tentera berturban yang mara itu bergerak dalam kumpulan berempat dan bukannya bertiga seperti Tentera British. Menyedari helah tersebut, Lt. Adnan Saidi dan anak buahnya melepaskan tembakan dan berjaya membunuh sekitar 20 orang musuh pada jarak dekat yang memaksa tentera Jepun berundur.

Dua jam kemudian, tentera Jepun telah melancarkan serangan besar-besaran dalam bilangan yang besar. Serangan tersebut menumpaskan Lt. Adnan Saidi dan tenteranya. Dengan bilangan yang jauh lebih kecil dan kekurangan peluru, Rejimen Melayu bertempur dalam pertempuran sehingga ke mati. Walaupun Leftenan Adnan terkorban, namun lebih daripada 800 askar yang telah dibunuh oleh Leftenan Adnan dan rejimennya. Pertempuran sengit berlanjutan di Bukit Candu. Semua jenis senjata digunakan, termasuk bom tangan dan senjata automatik. Lt. Adnan sendiri mengendalikan senjata mesingan jenis Lewis gun. Dalam kebanyakan kes, askar bertempur dalam pertempuran berhadapan menggunakan bayonet. Tetapi, mereka kekal bertahan mengecewakan pihak musuh. Dalam pertempuran yang berikutnya pegawai dan tentera mati. Adnan cedera parah tetapi enggan berundur sebaliknya menyuruh orang-orangnya berjuang sehingga ke titisan darah terakhir. Keberaniannyalah yang menaikkan semangat juang orang-orangnya untuk bertahan bersunguh-sungguh.

Korporal Yaakob, yang mendapat Pingat Keberanian Medal of Gallant, merupakan salah seorang daripada mereka yang terselamat dalam pertempuran Bukit Candu. Dalam kacau-bilau pertempuran, beliau yang cedera jatuh di atas mayat mereka yang terkorban. Beliau terselamat dengan berpura-pura mati disamping mayat rakannya dan melihat kematian mengerikan Adnan Saidi. Musuh yang menang berjaya menawan Lt. Adnan. Akibat perasaan dendam kerana keberaniannya melawan Jepun, ketua platun itu diseret sebelum diserkup dengan guni. Tentera Jepun kemudiannya telah menggantungkan kakinya pada pokok ceri. Kerana meradang akibat kehilangan ramai rakan, tentera Jepun kemudiannya telah menikamnya dengan bayonet berkali-kali. Dalam kejadian lain disebut lehernya telah dikelar. Kejadian ini dilihat oleh Koperal Yaakob. Selepas pertempuran, pihak Jepun melarang sesiapapun menurunkan mayatnya untuk dikebumikan, dan tiada seorangpun yang berani. Malah menurut beberapa sumber, tubuh Lt. Adnan Saidi yang dicacatkan itu dibakar menjadi abu.

Keberanian Lt. Adnan Saidi bersama kontinjen 42 orang anggota Askar Melayu yang telah bertempur mati-matian untuk mempertahankan permatang Pasir Panjang merupakan satu episod yang kini kekal dalam lipatan sejarah. Pertempuran sengit itu disebut khusus dalam perutusan Lt. General A. E. Percival berkenaan Pemerintahan Operasi Malaya dari tarikh Disember 1941 sehingga 15 Februari 1942: “Selepas dua jam dibedil dengan meriam dan motar, tentera Jepun menyerang Rejimen Melayu yang mempertahankan Permatang Pasir Panjang. Rejimen Melayu bertempur dengan gagah beraninya tetapi mengalami kehilangan jiwa yang teruk, dan menjelang petang musuh sampai ke Celah (Permatang Pasir Panjang)…”

Di tapak bersejarah ini, pertempuran bagi pertahanan terakhir Singapura telah berlarutan selama 48 jam, berakhir dengan satu-satunya pertempuran jarak dekat tangan-ke-tangan (yang direkodkan) dengan Tentera Jepun. Hari ini, genap 70 tahun peristiwa ini berlaku, YB Menteri Pertahanan telah mengadakan lawatan bagi memberi penghormatan kepada mereka yang telah gugur di medan juang. Lawatan ini bermula dengan majlis doa selamat yang diketuai oleh YB Menteri Pertahanan sendiri dan turut disertai YB Datuk Dr Abdul Latiff bin Ahmad, Timb Menteri Pertahanan, Jen Tan Sri Zulkifeli bin Mohd Zin, Panglima Angkatan Tentera, Kol Abdul Malik bin Mohd Alwi (Bersara), Presiden Kelab Pegawai Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) serta Pegawai-pegawai Kanan Tentera Darat.

YB Menteri Pertahanan sewaktu sidang media memaklumkan 14 Feb akan dijadikan sebagai tarikh memperingati perjuangan perwira negara dalam kalendar aktiviti Tentera Darat. Sewaktu lawatan ini diadakan, YB Menteri Pertahanan turut menyampaikan sumbangan peribadi berjumlah 1,000 dollar Singapura.

“PERTAHANAN NEGARA TANGGUNGJAWAB BERSAMA”


kredit : Rahim Mohd
https://www.facebook.com/groups/139119639457821/permalink/329658553737261/

Sumpah Prajurit Komando

Sebagai seorang anggota Tentera Malaysia, saya sanggup berkorban untuk mempertahankan kedaulatan Negara.

Saya akan sentiasa merasa megah dan tampan sebagai seorang anggota tentera Malaysia.

Saya akan sentiasa percaya kepada tuhan serta taat setia kepada Yang Di Pertuan Agong, Pasukan dan Ketua.

Saya akan sentiasa patuh pada undang-undang Negara serta membantu dalam perlaksanaannya.

Saya akan mengutamakan kepentingan Negara daripada keperluan peribadi sendiri.

Saya akan sentiasa bersikap sopan, ikhlas dan jujur.

Saya akan sentiasa menghormati kepercayaan serta tradisi dan adat resam bangsa-bangsa lain dalam masyarakat Malaysia.

Saya akan sentiasa membantu rakan-rakan seperjuangan saya dan memimpin mereka jika saya yang terkanan sekali dalam masa yang genting.

Jika saya di tawan saya akan terus menentang dengan seberapa daya upaya dan apa sahaja cara yang sesuai.

Saya tidak akan sekali-kali menyerah diri selagi saya masih ada kemampuan untuk menentang.

Sekiranya saya disoal siasat saya akan memberi tahu nombor tentera, pangkat dan tarikh lahir sahaja dan tidak sekali maklumat-maklumat yang boleh mengancam atau mendatangkan akibat buruk kepada negara, pasukan, ketua dan rakan-rakan saya.

Saya akan mengharumkan nama Bere Hijau dan juga rakan-rakan seperjuangan yang memakainya hingga akhir hayat saya.

Wednesday, February 22, 2012

KOMANDO oh KOMANDO

GRUP GERAK KHAS

Grup Gerak Khas (GGK) adalah satu pasukan elit utama negara dalam naungan Angkatan Tentera Malaysia dan juga merupakan pasukan komando elit yang disegani ramai kerana kesanggupan mereka melakukan apa sahaja. Pasukan ini beroperasi di Sungai Udang di Melaka dan Mersing,Johor.

Sejarah

Penubuhan pasukan elit tentera darat ini bermula selepas konfrontasi yang melibatkan Persekutuan Malaysia-Indonesia pada tahun 1965. Sebagai jalan penyelesaian kepada masalah yang timbul dari konfrantasi tersebut, Menteri Pertahanan Malaysia pada ketika itu, Tun Abdul Razak bin Haji Dato' Hussein, telah memberi arahan untuk mengadakan unit ujian. Menteri Pertahanan telah mengarahkan sukarelawan dan sejumlah sukarelawan dari tentera darat dan laut untuk mengambil bahagian. Pada 25 Februari 1965, satu latihan asas komando diperkenal dan dikendalikan oleh Regimen ke-40 Komando Marin DiRaja British (40th British Royal Marines Commando) di Kem Majidee, Johor Bahru, Johor.

Daripada 300 sukarelawan yang mengambil bahagian, hanya 15 orang sahaja yang terpilih untuk menjalani latihan asas Komando selama 6 minggu. Pada akhir latihan, hanya 4 Pegawai dan 9 anggota dari lain-lain pangkat berjaya dalam latihan ini dan juga merupakan trup nukleus yang pertama. Mereka adalah :

  1. Leftenan Kolonel Shahrul Nizam Bin Ismail (Jeneral Bersara)
  2. Mejar Abu Hassan bin Abdullah (Kolonel Bersara)
  3. Leftenan Mohd Ramli bin Ismail (Mejar Jeneral Bersara)
  4. Leftenan Dua Ghazali bin Ibrahim (Mejar Jeneral Bersara)
  5. Leftenan Dua Hussin bin Awang Senik (Kolonel Bersara)
  6. 6842 Sarjan Ariffin bin Mohamad
  7. 300152 Sarjan Anuar bin Talib
  8. 4861 Sarjan Zakaria bin Adas
  9. 201128 Sarjan Yahya bin Darus
  10. 202072 Koperal Silva Dorai
  11. 203712 Koperal Moo Kee Fah
  12. 13852 Lans Koperal Johari bin Haji Morhd Siraj
  13. 10622 Lans Koperal Sabri bin Ahmad

Kejayaan ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia juga berkebolehan untuk mengambil apa jua peranan dan tugas yang diberikan. Dengan bimbingan dan tunjuk ajar daripada jurulatih khas dari Rejimen ke-40 Royal Marines Commando British, Grup Gerak Khas mula melebarkan sayap pada tahun yang sama, mereka berjaya mengatasi 6 latihan asas komando.

Mejar Abu Hassan bin Abdullah merupakan Pegawai Komand Pertama bagi Grup Gerak Khas (GGK), dan Sarjan Ariffin menjadi Mejar Skuadron yang pertama. Pada akhir 1965, kekuatan GGK adalah sebanyak 70%. Bagi memastikan pembangunan yang seiring dengan pasukan elit, pegawai dari pelbagai pangkat dihantar keluar negara untuk menjalani kursus-kursus khas seperti penyusupan lintas udara, penerjunan bebas, operasi-operasi khas, renjer, teknik amfibia dan sebagainya.

GGK juga mengadakan latihan bersama dengan pasukan elit dari negara lain seperti KOPASSUS TNI-AD dari Indonesia, Special Air Service (Australia, Britain), Special Service Group (Pakistan), US Delta Force dan Green Beret (Amerika Syarikat). KOPASSUS yang merupakan pasukan elit Indonesia yang paling kerap mengadakan latihan silang bersama dengan GGK ini kerana bagi menjaga nama baik kedua-dua negara serumpun selepas konfrantasi tersebut, pasukan ini mengadakan hubungan persahabatan dengan unit elit ini. GGK telah mengadakan operasi di Timur Malaysia dan semasa insiden 13 Mei 1969. Selepas Konfrontasi 1967, terdapat perbincangan sama ada untuk menyambung atau mengekalkan unit khas ini. Ini kerana terdapat implikasi kewangan dari unit GGK di mana ia bersamaan dengan keperluan dua Batalion Infantri. Oleh kerana isu tersebut, GGK telah dipindahkan ke Kem Segenting, Port Dickson pada 1968.

Insiden 13 Mei telah membuktikan bahawa GGK merupakan aset yang berharga buat kerajaan dan patut dikekalkan dan dikembangkan kepada regimen. Apabila elemen dan unit baru diserap ke dalam GGK, mereka telah dipindahkan ke Kem Sungai Udang, Melaka dan pada 1 Ogos 1970, Regimen Gerak Khas pertama telah dibentuk. Walaupun GGK telah mendapat kredit pada 1971 tetapi keanggotaannya masih menjadi milik kor masing-masing. Situasi ini menyebabkan masalah bagi merancang kerjaya anggotanya. Untuk mengatasi masalah ini, sukarelawan yang di buang dari senarai untuk menyertai Regimen Khas. Pada 1973, kor telah ditugaskan kepada 6 pegawai.

Perkembanga

Kem Sungai Udang telah diberi gelaran sebagai "Markas Komando". Ia telah berjaya menarik minat ramai sukarelawan dari regimen lain. Leftenan Kolonel Borhan bin Ahmad merupakan pegawai yang bertanggung jawab mencari jalan untuk mengembangkan GGK. Banyak aktiviti termasuk sukan dan aktiviti ketenteraan lain telah di susun untuk memastikan GGK terlibat. Program bersama dipimpin oleh negara lain seperti British, New Zealand, Australia dan juga Amerika Syarikat untuk mengembangkan pengetahuan dan mendapat pengalaman baru dalam aspek khusus dalam operasi khas.

Dalam rancangan malaysia Ke-3 dan penambahan pasukan bersenjata, Pusat Latihan Perang Khas (PULPAK) telah dibina pada 1 Ogos 1976. Fungsi utama adalah untuk memastikan keperluan latihan untuk pasukan khas dipenuhi. Selepas itu, Regimen kedua GGK telah dibentuk. Kesemua tiga unit menjadikan Kem Sungai Udang, Melaka sebagai tapak. Pada 1979, Pusat Latihan telah siap sepenuhnya dan Kolonel Borhan bin Ahmad menjadi Komandan bagi pusat latihan khas ini.

Persenjataan

Grup Gerak Khas dibekalkan dengan kelengkapan dan teknologi bagi semua unit elit Malaysia. Kelengkapan GGK bukan sahaja terdiri daripada sistem persenjataan biasa, tetapi turut dibekalkan dengan beberapa model baru.

Insignia

Motto Rejimen
Cepat Dan Cergas
Lambang Rejimen
Digelar sebagai "Harimau Berjuang", wajah harimau mengaum dan pisau komando. Warna hijau melambangkan status Rejimen Komando dan melambangkan warna hijau juga sebagai warna suci agama Islam. Warna Biru melambangkan hubungan erat antara Rejimen Gerak Khas dengan 40th Royal Marines Commando British. Harimau melambangkan keberanian, dan ketangkasan. Pisau Komando merupakan pertanda status anggota resimen – hanya anggota komando sahaja yang layak menyandang pisau komando.
Beret Hijau
Anggota Rejimen Gerak Khas menggunakan Beret Hijau, merupakan simbol am diantara komuniti pasukan komando di seluruh dunia. Lambang "harimau berjuang" diletakkan pada beret hijau.
Lanyard Biru
Anggota Rejimen Gerak Khas juga menggunakan lanyard berwarna biru, sebagai tanda penghargaan dari 40th Royal Marines Commando British. Anggota dari 40th Royal Marines dan Gerak Khas menggunakan lanyard biru tradisional.
Tanggungjawab

Grup Gerak Khas bertanggungjawab menyediakan kemudahan dan kelengkapan menjalankan gerakan khas termasuk gerakan payung terjun dan gerakan perairan. Gerakan ini boleh dilaksanakan secara bersendirian, bersama atau bekerjasama dengan pasukan tetap yang lain di dalam kawasan musuh.
Rejimen Gerak Khas

Mengadakan Skuadron mencari, melapor dan menghancur musuh dengan penyusupan jarak jauh dan di samping itu bekerja rapat dengan pasukan gerila. Melaksanakan operasi ofensif secara bebas yang memerlukan kepakaran melalui laut, darat dan udara di dalam kawasan yanng dikuasai oleh musuh dan juga mendapatkan maklumat.

Latihan

Tentera Darat membuat pengambilan latihan Kursus Asas Komando 3(tiga) kali setahun, siri AK/1, AK/2 dan AK/3.Kursus ini mengambil masa selama 12 minggu, terbahagi kepada 5 fasa.Syarat untuk menyertai kursus ini seseorang itu haruslah berkhidmat dalam Tentera Darat terlebih dahulu sekurang-kurangnya setahun dan mempunyai rekod yang cemerlang. Pendek kata kursus ini hanya untuk anggota Tentera Darat bukan orang awam. Kursus ini juga merupakan kemuncak kepada kemampuan seorang anggota Tentera Darat. Biasanya,50 peratus anggota akan berjaya mengharungi kursus ini sehigga tamat. Contohnya kursus siri AK/3/2006. 180 anggota diterima menyertai kursus ini setelah lulus orientasi selama 30 hari di Markas 21 GGK. Akhirnya 90 anggota berjaya menamatkan kelima-lima fasa dengan jayanya pada 24 Februari 2007, bermula pada 2 Disember 2006.

Sebelum menyertai Kursus Asas Komando Gerup Gerak Khas 12 minggu, pelatih wajib terlebih dahulu mengikuti orientasi selama 30 hari bagi menilai apakah mereka layak menyertai kursus tersebut. Oleh itu mereka akan diuji sekeras-kerasnya.


FASA 1: KEM (5 minggu)

Setelah berjaya diorientasi barulah mereka boleh menyertai kursus. Objektif peringkat permulaan ini untuk menguji ketahanan mental dan fizikal anggota. Antara latihannya seperti abseiling, senjata, bahan letupan, perubatan dan sebagainya. Pada permulaan peringkat ini, pelatih akan berlari sejauh 76 km, seterusnya 76 km lagi pada waktu malam. Pertengahan pula jalan lasak 25 km. Di akhir peringkat ini pelatih harus keluar dari Kem Sg. Udang memandu arah sejauh 138 km tanpa henti.

FASA 2: HUTAN (2 minggu)

Latihan di peringkat ini seperti ikhtiar hidup, peperangan hutan dan sebagainya. Pelatih juga dilatih memandu arah sejauh 90km. Di akhir peringkat ini mereka juga akan berjalan sejauh 160 km dalam masa 3 hari. Biasanya, aktiviti inilah yang paling ramai pelatih gagal kerana menyerah dan tidak mampu bertahan lagi berjalan sejauh itu.

FASA 3: PAYA (1 minggu)

Walaupun hanya seminggu dan tiada apa-apa aktiviti fizikal di peringkat ini, tetapi mereka terpaksa bertahan untuk terus hidup dengan hanya berbekalkan seluar dalam, sebilah parang, beberapa batang mancis dan tiada langsung bekalan makanan diberi. Latihan lain ialah ikhtiar hidup, peperangan di paya dan sebagainya.

FASA 4: LAUT (2 minggu)

Latihan di peringkat ini seperti serangan pantas, menyelam di dasar laut, sabotaj dan sebagainya. Pelatih juga dikehendaki berdayung dengan kanu todak sejauh 20 km. Selain itu pandu arah laut 10 km dengan kanu yang sama. Setiap anggota komando WAJIB mahir dan pakar dalam tiga dimensi peperangan iaitu laut, darat dan udara.

FASA 5: LATIHAN PENAMAT (2 minggu)

Sekarang tibalah masa untuk pelatih mengaplikasikan segala apa yang telah dipelajari dan diharungi pada peringkat sebelumnya. Peringkat inilah merupakan ujian sebenar pelatih. Permulaan ujian mereka terpaksa berdayung sejauh 100 km menuju ke kawasan operasi. Tiba di sana,mereka perlu mencari dan mengenalpasti lokasi kawasan musuh, mengatur gerak dan seterusnya melancarkan serangan ke kawasan itu. Setelah serangan berjaya dilaksanakan dan objektif tercapai, mereka terpaksa pula melarikan diri dari musuh yang cuba memusnahkan mereka. Dalam pelarian ini, mereka juga perlu mengelak dari ditangkap. Inilah yang dinamakan Escape & Evasion. Jikalau ditangkap, mereka akan diseksa sebenar-benarnya. Jarak pelarian ini sejauh 240 km!!!Untuk mengelak dari ditangkap, mereka tidak boleh leka atau tidur sepanjang E&E itu. Masa yang diambil kira-kira 5 hari untuk menamatkan jarak sejauh itu. Bayangkalah keperitan yang mereka alami. Maka layaklah mereka digelar KOMANDO, iaitu manusia yang mempunyai ketahanan mental dan fizikal yang amat tinggi

Segala ujian yang mereka harungi ini tak mungkin mampu dilakukan oleh manusia biasa. Saya sendiri bagaikan tak percaya apa yang mereka buat. Jumlah keseluruhan perjalan mereka sejauh lebih 900 km.

Mereka akan diberi rehat seminggu selepas itu sebelum hari penganugerahan beret. Anggota yang berjaya akan membuat satu demonstrasi serangan pantai keatas kubu musuh yang berada hampir dengan gigi air kepada tetamu kehormat.

Penganugerahan

Mulanya anggota itu akan melutut dihadapan penganugerah. Topi celoreng yang dipakai akan dibuang manakala beret hijau akan disarungkan. Kemudian anggota akan mendepakan tangan kanannya sambil menggenggam untuk penganugerah mengikat lanyard biru. Akhir sekali anggota perlu berdiri semula untuk penganugerah menyarungkan pisau Fairbairn & Sykes yang sarungnya telah berada tersedia di dada kiri. Penganugerahan ini diberi terlebih dahulu kepada pegawai.

Diploma juga turut diberikan kepada anggota-anggota itu.

Operasi yang diketahui

Insurgensi 1966-1990Pada insurgensi mulai tahun 1966 hingga 1690, Rejiment Gerak Khas terlibat dalam beberapa siri operasi menentang pengganas komunis diseluruh kawasan hutan Malaysia. Ramai diantara pengganas komunis yang berjaya dibunuh, dicederakan dan ditawan serta sejumlah besar senjata api, bahan letupan dan kelengkapan dirampas.

Kepulauan Spratley

Memandangkan unit Rejimen Gerak Khas adalah aset berharga kerajaan, perkara yang perlu difahami oleh pasukan elit tentera darat dan marin ATM adalah menjaga kawasan yang berhampiran dengan Kepulauan Spratley. Grup Gerak Khas dan PASKAL Tentera Laut Diraja Malaysia dihantar bertugas menjaga pulau-pulau kecil yang berhampiran dengan perairan Malaysia. Dua detasemen elit ini telah ditempatkan di Pulau Terumbu Ubi, Terumbu Mantanani dan Terumbu Layang-Layang serta Terumbu Siput dan Terumbu Peninjau.

Pertempuran di Mogadishu, Somalia (1993)

Grup Gerak Khas terlibat dalam operasi berprofil tinggi termasuklah operasi bersepadu dengan Rejimen Askar Melayu Diraja dan tentera Pakistan dalam tugas menyelamat pasukan Renjer dan pasukan elit Delta Force Amerika Syarikat yang terperangkap didalam pertempuran dengan tentera militan Jeneral Farah Aidid di Pasar Bakhara, Mogadishu, Somalia yang mengorbankan seorang krew kereta perisai MALBATT RAMD iaitu Allahyarham Koperal Aznan Awang dan 7 lagi cedera. GGK turut kehilangan dua anggotanya semasa pertempuran di bulatan K4 dimana unit ini terlibat dalam operasi yang diterajui oleh Amerika dalam tugas menangkap beberapa orang kanan Aidid.

Sukan Kommonwel ke-16

Grup Gerak Khas turut digandingkan bersama pasukan polis anti-pengganas Pasukan Gerakan Khas PDRM dalam tugas keselamatan khas dan bersedia untuk tugas operasi menyelamat tebusan dan mematikan bahan letupan (sekiranya berlaku ancaman dan kekacauan dari pihak-pihak tertentu) sempena Sukan Kommonwel ke-16 di Kuala Lumpur pada tahun 1998.

Bosnia Herzegovina

Unit-unit Grup Gerak Khas turut dihantar sebagai unit pengaman di Bosnia, yang mana satu dan hanya unit komando daripada Asia Timur-Selatan telah ditugaskan di Bosnia.

Timor Leste 2006

Grup Gerak Khas juga dihantar bersama dengan truper elit dari 10 Briged Para dan pasukan elit PDRM, Pasukan Gerakan Khas dalam operasi pengaman di Timor Leste, yang diketuai oleh Australia yang dikenali sebagai Operasi Astute.

Insiden Genting Sempah

Pada Julai, 2007, Rejimen ke-22 Grup Gerak Khas bersama dengan anggota 10 Briged Para dari Kem Terendak, PASKAU TUDM dan Pasukan Gerakan Khas PDRM dengan disokong oleh Tentera Laut Amerika Syarikat, Pasukan Gerakan Am PDRM, Renjer Perhutanan, Jabatan Bomba Dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) serta penduduk tempatan dalam usaha mencari dan menyelamat 6 krew helikopter Sikorsky S61 Nuri yang terhempas di Genting Sempah pada 13 Julai lalu. Walaubagaimanapun, keenam-enam wira negara tersebut telah terkorban sebelum pesawat malang itu ditemui oleh unit-unit penyelamat tersebut.

MALCON - UNIFIL

Unit ini juga terlibat dalam misi pengaman MALCON - UNIFIL di Lubnan bersama dengan tiga lagi elemen pasukan elit ATM (terdiri daripada 10 Briged Para, PASKAL dan PASKAU) dan ditempatkan di dalam Kontinjen India dalam menjaga keamanan di negara yang mengalami kemusnahan akibat serangan oleh rejim Israel. Keempat-empat pasukan elit ini bertindak sebagai Pasukan Tindakan Pantas dalam menghadapi sebarang bentuk ancaman dikawasan pentadbiran ATM disana.